This article was first published on 28 January 2016 on Medium. Republished here with minor edits.

Tajuk: Voices from the Rainforest; Testimonies of a Threatened People
Penulis: Bruno Manser
Terbitan: Strategic Information and Research Development Centre (SIRD)
Tahun: 2015
Bahasa: English
Mukasurat: 294

Buku ini ditulis oleh Bruno Manser yang menjalankan kerja-kerja advokasi dan konservasi hutan simpan di Asia Tenggara. Edisi pertama buku ini diterbitkan pada tahun 1996 oleh INSAN dan buku ini kembali ke ruang awam setelah 15 tahun Bruno Manser hilang di dalam hutan semasa dalam perjalanan untuk bertemu pemimpin Penan di Sarawak. Bruno Manser masih belum diketemui.

Buku ini merupakan catatan verbatim orang-orang asli yang ditemui Bruno Manser ketika beliau tinggal bersama mereka di hutan tempat tinggal orang asli di Sarawak. Rata-ratanya Penan dan Dayak, mereka telah membina blockade (halangan) melindungi hutan mereka daripada pembalak-pembalak yang tidak peduli akan kemusnahan alam. Kerja-kerja pembalakan diarahkan oleh pihak kerjaan sendiri. Orang asli yang terkesan diarahkan untuk berpindah dan menukar ekonomi dari sara diri ke pertanian.

Perubahan ini amat sukar buat penduduk orang asli yang selama ini hidup berpindah randah di dalam hutan. Lihat betapa terkesannya mereka dalam dokumentari ringkas Al-Jazeera ini:

Apa beza ekonomi dan pembangunan?

Logik ekonomi semata-mata tidak semestinya terpakai buat setiap projek pembangunan yang melibatkan masyarakat dan budaya.

Lewat pembalakan, ekonomi orang asli sebenarnya miskin dan semakin miskin kerana mereka telah kehilangan satu-satunya sumber ekonomi mereka sejak turun-kemurun.

Mia Yusri dari Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) mempermasalahkan idea pembangunan ekonomi dari perspektif orang asli seperti berikut, “adakah pernah kita lihat kayu balak yang keluar daripada penempatan orang asli itu mengkayakan orang asli?” Sedangkan objektif pembalakan adalah untuk mengaut hasil ekonomi.

Dari segi sosialnya pula, masyarakat orang asli yang hidup bergantung kepada sumber hutan kini dipaksakan nilai-nilai kapitalis kita melalui pendidikan. Di dalam buku ini, andaian kita bahawa orang asli itu kurang pandai kerana tidak berpendidikan itu disangkal sama sekali.

“Dayak people are inseparably connected to the land from which they derive their food and their culture. The indigenous people consider themselves more like guests or trustees of their land than owners.”

Bruno Manser, Voices from the Rainforeset (1996)

Nilai yang diterapkan dalam budaya orang asli ialah kebergantungan manusia dengan alam, bukannya kerakusan manusia terhadap sumber alam. Kesedaran harus muncul bahawa manusia bukanlah sumber apa pun, manusia tidak boleh menghasilkan apa pun jika tiada alam yang memberikan bahannya.

Tradisi nilai orang asli juga egalitarian dan manusiawi:

“Where is your chief?”

“We are all of the same heart and soul. Even though one may be a woman or a child, we are all chiefs together.”

“Do you know the law?”

“No we don’t know the law. Nobody comes to teach it to us. We only know the law of the macaques and all the creatures who live in the jungle.”

“Do you want to kill the loggers?”

“If we wanted to kill them, we wouldn’t be standing here. We blockade because we are peaceful people.”

“This can’t be your land because you have neither a birth certificate nor an identification card.”

“We Penan have been living in this land from the beginning. Monkeys don’t have an IC either and they have been living in the jungle from the beginning, too.”

Pembangunan apa yang perlu ditolak?

Undang-undang kita adalah undang-undang pasaran. Kita sandarkan nilai kita pada nilai ringgit. Lihatlah keangkuhan kita apabila orang asli ingin mempertahankan hutan mereka — kita nafikan hak mereka hanya kerana mereka tiada sekeping kertas!

Dalam erti kata lain, tanpa kad pengenalan dan tanpa pendaftaran, anda bukan manusia yang perlu didengarkan. Anda bukan sebahagaian daripada golongan yang dirampas tanah adat dan sumber ekonomi, anda hanya manusia yang boleh diabaikan.

Buku ini seharusnya membuat pembaca memikirkan kembali apa itu pembangunan. Apa erti ekonomi diragut warga elit jika anak cucu terbuang, hutan hilang tidak terkenang?

Kebanyakan intelegensia masyarakat yang berintelektual mana sekalipun sering sekali melupakan golongan orang asli di Malaysia dalam perbincangan pembangunan negara.

Sekiranya kita membuat lawatan ke muzium orang asli di Gombak, kita akan dapat lihat pihak autoriti mengambil kredit penuh ke atas “pembangunan” masyarakat orang asli. Merekalah yang memberi orang asli pemodenan. Merekalah yang memberi orang asli pendidikan. Tetapi definisi pemodenan dan pembangunan orang asli mengikut acuan siapa?

Buku ini penting sekali untuk melengkapi naratif sejarah negara. Pastinya pengalaman orang asli berhadapan dengan autoriti undang-undang Malaysia tidak akan diceritakan dalam sejarah rasmi dalam buku teks.