Ditulis oleh Henry Giroux [baca artikel asal di sini] dan diterjemah oleh Maryam Lee.


“Realiti sentiasa mempunyai kuasa untuk memberi kejutan. Ia mengejutkan anda dengan jawapan kepada soalan-soalan yang tidak pernah ditanya – yang juga merupakan soalan-soalan paling menarik. Di situlah terletaknya rangsangan pada kehidupan, iaitu di dalam kebolehan untuk mensakralkan persoalan-persoalan yang tidak ditanya.”
– Eduardo Galeano di dalam Open Veins of Latin America… and Other Stories

Serangan Neoliberalisme ke atas Demokrasi

Fred Jameson pernah berhujah, “adalah lebih mudah untuk membayangkan kehancuran dunia berbanding membayangkan kehancuran kapitalisme.” Beliau meneruskan, “kini kita boleh semak semula ayat ini dan menjadi saksi kepada percubaan untuk membayangkan kapitalisme sepertimana kita membayangkan kehancuran dunia” (Jameson, 2003). Salah satu cara untuk memahami komen Jameson ini terletak pada arus-arus penentangan, khususnya oleh orang-orang muda, terhadap penghasilan subjek neoliberal di dalam kerangka ideologikal dan ruang-ruang yang terjejas akibat penghasilan ini. Dalam kerangka neoliberal, ideologi berpandukan pasaran telah dibiasakan (sama ada secara ideologi atau praksis), dan golongan belia kini berkeras bahawa kapitalisme kasino (casino capitalism) berpandukan keganasan gila dan berbentuk sabotaj kendiri, dan jika kegilaan ini tidak berhenti, kebarangkalian kehidupan manusia dan planet ini menemui kehancuran amat tinggi. Pastinya kini, laporan-laporan saintifik berkenaan ancaman ekologi ini, daripada Universiti Washington, NASA, dan panel antara-kerajaan berkenaan perubahan iklim (Intergovernmental Panel on Climate Change) mengukuhkan kemungkinan distopia ini. [1]

Sebagai bentuk terbaru kapitalisme pemangsa, neoliberalisme adalah sebuah projek ekonomi dan politik untuk mengembalikan kekuasaan kelas dan mengukuhkan penumpuan modal secara pesat, khususnya modal kewangan (Giroux, 2008; 2014). Sebagai sebuah projek politik, neoliberalisme merangkumi “nyah-kawalan kewangan, penswastaan perkhidmatan awam, penghapusan dan pengurangan kebajikan sosial, serangan terbuka ke atas kesatuan-kesatuan, dan pencabulan undang-undang yang rutin” (Yates, 2013). Sebagai sebuah ideologi, ia melemparkan kesemua aspek kehidupan kepada rasional pasaran, menafsirkan keuntungan sebagai penentu dan intipati demokrasi, menjadikan konsumerisme sebagai pembawakan masyarakat, dan mengangkat kepercayaan mengarut bahawa pasaran boleh menyelesaikan semua masalah dan pasaran bertindak sebagai kerangka untuk semua hubungan sosial. Sebagai sebuah cara pemerintahan, neoliberalisme menghasilkan identiti, subjek, dan cara hidup yang berpandukan etika “survival of the fittest”, yang metanamkan pemikiran bahawa individu yang bebas dan mempunyai pemilikan, serta mengabdikan diri kepada kuasa dan institusi yang memerintah, berkuasa untuk menggunakan kuasa mereka tanpa kesan etika dan sosial. Sebagai sebuah projek polisi dan politik, ia berhubung rapat dengan penswastaan perkhidmatan awam, penghapusan jambatan antara isu-isu swasta dengan isu-isu awam, penggadaian fungsi-fungsi kerajaan, liberalisasi perdagangan barangan dan pelaburan modal, penyah-kawalan institusi kewangan dan syarikat-syarikat korporat oleh badan kerajaan, pemusnahan negara berkebajikan dan kesatuan-kesatuan, dan pemasaran serta pengkomodifikasian masyarakat yang tidak habis-habis.

Neoliberalisme telah mengeluarkan usaha yang banyak untuk mencipta sebuah alat pemerintahan bersifat kebudayaan, dan mengajar orang awam bahawa setiap individu hanya boleh melihat diri mereka sebagai pengguna (consumers), menanggapi kebebasan sebagai hak mutlak untuk berpartisipasi dalam pasaran, dan menanam isu-isu tanggungjawab sosial pada individualisme yang tidak seimbang, menanggapi kepercayaan bahawa semua hubungan sosial perlu dinilai berdasarkan keuntungan dan kepentingan peribadi. Hal-hal berkenaan kepedulian, kehormatan dan belas kasihan sejagat diketepikan untuk memberi jalan kepada penswastaan dan kepentingan peribadi tanpa batas, sebagaimana hubungan antara masalah-masalah ruang peribadi semakin sukar untuk diterjemahkan ke dalam ruang awam.

Kontrak sosial semakin terhakis atau digantikan dengan bentuk-bentuk kapitalisme yang rakus, melemahkan ruang awam untuk masyarakat sivil dek regim neoliberal yang terus mencengkam pendanaan awam. Hal ini memupuk budaya ketakutan dan keganasan kerajaan (state violence) semakin banyak digunakan. Salah satu kesannya ialah kesukaran untuk memperdebatkan hegemoni neoliberal dan kesengsaraan yang dihasilkan hegemoni ini kepada orang-orang muda, miskin, kelas menengah dan kelas pekerja – mereka adalah golongan “pakai buang” (disposable) di dalam ekonomi neoliberal. Ethos, atau kerangka pemikiran yang mengaspirasikan ciri-ciri tertentu berkiblatkan neoliberalisme sering menggunapakai mod “survival of the fittest”, iaitu keberlangsungan mereka yang paling kuat dan berkuasa. Mod ini dipaksakan ke atas orang kebanyakkan oleh golongan bangsawan dan elit dalam dunia ekonomi dan politik. Orang kebanyakkan kini tidak dapat menyuarakan pendapat mereka dan tidak mempunyai representasi dalam proses adaptasi kehidupan mereka dalam kerangka neoliberalisme. Defisit demokrasi ini menghasilkan “rasa tidak puas hati yang tinggi dalam masyarakat,” bak kata Chantal Mouffee ( Mouffe, 2013:119). Inilah sebabnya kenapa begitu ramai sekali golongan “pakai buang” yang dinyatakan tadi bertindak mengadakan demonstrasi di jalan raya sebagaimana yang berlaku di Greece, Mexico, Mesir, Amerika Syarikat, dan England.

Protes bantah kenaikan gaji minima sebanyak RM50 kepada RM1,050 berbanding gaji minima RM1,500 yang dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan dalam manifesto mereka sekiranya menang pilihanraya. Protes di hadiri para aktivis dan pekerja dari kesatuan pekerja di Malaysia. Foto: #MrymGallery

Kebangkitan Belia Pakai Buang

Apa yang menarik sekarang adalah cara orang-orang muda, terutamanya yang berasal daripada golongan miskin dan minoriti, telah dinafikan kedudukan mereka di dalam mana-mana strata sosial sehinggakan mereka tidak lagi dikira sebagai golongan yang boleh memberi definisi kepada masa depan mereka sendiri. Kesengsaraan golongan belia yang boleh “dipakai buang” ini amat jelas. Mereka terdiri daripada jutaan belia di negara-negara seperti England, Greece, dan Amerika Syarikat yang menganggur dan dinafikan kebajikan jangka masa panjang. Kadar pengangguran golongan belia di Sepanyol, Itali, Portugal, dan Greece adalah sekitar 40 hingga 50 peratus. Lebih teruk lagi, tiada pekerjaan untuk graduan kolej atau universiti atau mereka terpaksa bekerja di tempat yang tidak memerlukan kemahiran yang tinggi dengan upah yang rendah. Di Amerika Syarikat, golongan belia merupakan golongan yang bergantung kepada setem makanan (sistem tuntutan makanan untuk mereka yang tidak berkemampuan). Dengan hutang yang besar, krisis peluang pekerjaan, keganasan kerajaan (state violence), dan prospek kehidupan yang jauh lebih menyedihkan berbanding kehidupan yang dikecapi generasi ibubapa mereka, ramai orang muda yang mempamerkan sebuah kemarahan yang menperdalam lagi kehampaan mereka dan mengeluarkan diri daripada gelanggang politik.

Ahli sosiologi Zygmunt Bauman megatakan ini adalah generasi pertama di mana “kesengsaraan yang dialami mereka akan dipanjangkan kepada keseluruhan generasi tersebut” (Bauman, 2012a; 2012b; 2012c). Belia hari ini telah “dicampakkan ke dalam arus transisi yang tidak pasti bersifat sementara atau kekal” (Bauman, 2004: 76). Golongan muda hari ini tidak lagi mempunyai harapan untuk menuntut hak keistimewaan (privilege) yang ditawarkan kepada generasi sebelum mereka. Mereka kini mendiami tanggapan neoliberal dalam kehidupan seharian yang berputus harapan terhadap kemajuan dan masa depan yang gelap dan tidak terjamin. Jangkaan mereka untuk visi-visi kemajuan telah pudar kerana polisi pasaran neoliberal yang menghapuskan jaminan sosial seperti pencen, penjagaan kesihatan, pendidikan tinggi. Polisi-polisi ini telah menghasilkan kadar pengangguran yang tinggi sementara berjuta-juta ringgit diberikan kepada bank-bank dan institusi ketenteraan. Pelajar di pengajian tinggi, terutamanya, mendapati diri mereka terperangkap di dalam aspirasi yang musnah dan dunia yang penuh keberhutangan (Fraser, 2013; The History of Debt, lihat Graber, 2012).

Kebangkitan Semula Imaginasi Radikal

Bahasa etika yang memberi perhatian kepada keganasan dan kesengsaraan telah hilang sama sekali di dalam regim neoliberalisme yang muncul sejak akhir 1970-an, terumatanya di kawasan utara Amerika Syarikat. Sementara itu, belia yang ditindas terus menerus kehilangan maruah dan pemilikan materi mereka. Ketakutan mereka untuk kehilangan segala-galanya, kengerian situasi prekariat (golongan yang tiada jaminan materi yang memberi kesan kepada kebajikan fizikal, mental dan sosial) yang melumpuhkan, bertungkus lumus hanya untuk kehidupan paling asas di dalam kerangka negara yang menghukum sesiapa sahaja yang melawan – telah menjadi satu cara hidup bagi golongan 99 peratus di Amerika Syarikat dan negara-negara lain. Dalam situasi sebegini, golongan belia bukanlah lagi tempat masyarakat meletakkan aspirasi, tetapi menjadi tempat masyarakat menyembunyikan mimpi buruk mereka. Di sebalik polisi-polisi pengurangan dana awam yang merosakkan, “zon-zon keganasan domestik, kesengsaraan, kekejaman dan penghukuman menggantikan nilai-nilai belas kasihan, tanggungjawab sosial, dan keberanian sivil” (Biehl, 2005: 2)

Menentang kondisi sebegini, terbangkitlah satu generasi belia yang percaya kepada kuasa penyanggahan kolektif. Politik jenis ini kembali muncul pada tahun 2010 ketika protes-protes diketuai golongan muda menanggapi kebarangkalian untuk meluaskan lagi ruang demokrasi, mereka tidak mahu menolak demokrasi. Pergerakkan sosial seperti itu menghasilkan satu makna baru dalam politik yang melibatkan kolaborasi dan partisipasi politik secara melintang (horizontal). Mereka telah menghidupkan kembali persoalan-persoalan berkenaan kuasa kelas, kesengjangan pendapatan, korupsi kewangan dan penghakisan proses demokrasi. Mereka juga meneroka makna mewujudkan komuniti baru untuk sokongan bersama, mod demokratik untuk pertukaran sumber dan pentadbiran, dan ruang awam yang mengangkat unsur dialog kritis (critical dialogue). [Untuk membaca analisa baik berkenaan dorongan neoliberal ke arah korupsi kewangan, lihat Anderson, 2004].

Protes orang muda bermula pada tahun 2010 di Tunisia, dan ianya berkembang ke seluruh dunia seperti Amerika Syarikat dan Eropah, menimbulkan sebuah tentangan langsung kepada dominasi neoliberal dan politik korup (Hardt & Negri, 2012). Cabaran kepada kekuasaan yang hanya boleh dilakukan di dalam “saluran yang betul” ditolak sama sekali oleh mahasiswa di universiti dan golongan muda keseluruhannya.

Selama dua tahun, orang muda telah mentransformasikan tanggapan-tanggapan asas tentang apa itu politik dan bagaimana imaginasi radikal boleh digunakan untuk menyanggah kepercayaan asas neoliberalisme serta mod-mod autoritarianisme yang sama waktu dengannya. Mereka juga mencabar wacana dominan daripada kemiskinan akibat percukaian terhadap orang miskin, pengangguran, hutang pendidikan yang melampau sehinggalah kepada korupsi korporat (corporate corruption). Bak kata Jonathan Schell, golongan belia amat berjaya meluahkan “semangat tindak yang baru”, sebuah luahan kemarahan yang berpaksian kolektif moral dan kemarahan politik yang mengatakan “sudah!” kepada kebobrokan ekonomi politik. Demi kekayaan, para koruptor mensabotaj keluhuran undang-undang dan melancarkan perang ke atas orang-orang miskin dan golongan yang lemah. Mereka menjarah sumber bumi dan melayarkan penipuan kepada orang awam tentang ancaman mereka kepada penghuni bumi (Shcell, 2011). Namun, segala kemarahan ini yang ditonjolkan melalui protes dan demonstrasi tidak mendatangkan perubahan penting secara global.

Keruntuhan atau Penyusunan Semula Protes Belia?

Costas Lapavitsas dan Alex Politaki menulis di The Guardian bahawa pasca “bencana ekonomi dan sosial 2012 dan 2013”, golongan belia di Greece, Perancis, Portugal, dan Sepanyol telah menghilangkan diri daripada “politik, pergerakkan sosial dan jaringan sosial yang muncul secara spontan untuk berhadapan dengan bencana” (Lapavitsas & Politaki, 2014). Namun pada waktu yang sama, golongan belia “tertarik dengan penghujung spektrum politik yang nihil, termasuklah beberapa bentuk anarkisme dan fasisme” (Lapavitsas & Politaki, 2014). Ini menunjukkan orang muda sememangnya digerakkan secara social ke arah apa-apa yang menjanjikan kepuasan hati mereka. Ini tidak bermakna belia telah tidak kelihatan. Sebaliknya, pergerakkan arus kanan membayangkan krisis ekonomi yang tidak dipadankan dengan krisis idea, iaitu satu pergerakkan yang akan menggerakkan orang muda ke arah kekirian, suatu kecenderungan orang muda ke arah parti politik berhaluan kiri atau formasi sosial yang lebih dekat untuk memahami keadaan ekonomi dan politik semasa. Apa yang kehilangan di sini ialah sebuah strategi untuk mencripta dan mengekalkan pergerak sosial demokratik yang menolak kooptasi sistem ekonomi dan politik yang menindas, sepertimana yang dominan di Amerika Syarikat, Greece, Turki, Portugal, Perancis, dan lain-lain sekarang.

Kritikan ke atas protes belia sebagai sebuah generasi yang disangsi masyarakat diteruskan dengan lebih terperinci oleh Andrew R. Myers di Student Pulse (Myers, 2012). Beliau menyatakan pendapat bahawa kemerosotan peluang ekonomi dan pendidikan di kalangan orang muda di Erapah telah menghasilkan perasaan pesismis. Bukan itu sahaja, keadaan pesimis ini diikuti dengan pemikiran yang bahaya, sinikal dan ketidakpercayaan terhadap politik yang sedia ada.

Malangnya, Myers tidak berapa peduli tentang kondisi yang menyebabkan orang muda kehilangan peluang pekerjaan dan pendidikan yang baik, kondisi yang sama juga telah meletakkan beban hutang yang berat ke atas mereka. Golongan muda ditawarkan masa depan yang penuh kesedihan dan harapan yang punah, bukannya mereka tidak mahu berpartisipasi dalam parti politik tradisional. Myers benar dalam mengatakan bahawa musuh sebenar orang muda ialah demokrasi yang rapuh, tetapi beliau silap dalam mengatakan bahawa parti politik sosial demokrat adalah satu-satunya jalan dan harapan untuk reformasi menyeluruh.

Demikian itu, Myers berpendapat bahawa golongan belia yang menzahirkan ketidakpercayaan kepada kerajaan sedia ada dan memperjuangkan pembinaan dunia yang baru adalah simbol kepada kekalahan politik, jika bukan sinisime itu sendiri. Ratapan beliau terhadap orang muda yang tidak cukup melawan pada hari ini dan juga kekurangan penglibatan merekada dalam bentuk politik yang tradisional menjadikan beliau seorang penyokong parti kiri/liberal yang menanggapi demokrasi sosial dan polisi buruh baru yang bersifat tengah-kiri (centrist-left). Teguran beliau berdasarkan bad faith, iaitu kepercayan yang buruk terhadap golongan muda, kerana padanya golongan ini sepatutnya menyertai politik pilihanraya dan kesatuan-kesatuan yang melambangkan politik reformis yang tidak sepatutnya ditolak.

Ironinya, kedua-kedua kritikan ini menyatakan golongan belia adalah pasif dan kegagalan politik mereka tiada kena mengena dengan generasi orang dewasa yang telah mengagalkan golongan muda – yakni naratif yang dilupakan ialah tentang sebuah generasi terdahulu yang tidak mahu menerima hakikat bahawa “generasi itu tidak menghulurkan tangannya untuk membantu generasi seterusnya” (Knott, 2011: ix). Tiada tanggapan kritikal terhadap generasi tua yang telah menghasilkan kesengsaraan kepada generasi selepas mereka sejak lewat tahun 1970-an. Mereka adalah generasi yang mengahwinkan kerajaan dan kestabilan sosial dengan peperangan, ketamakan, politik korup, xenofobio, dan membiarkan penentuan kejam globalisasi neoliberal ke atas kehidupan masyarakat.

Malah, apa yang berbeza antara golongan muda dengan generasi sebelum mereka ialah penolakan mereka terhadap ketidakadilan neoliberalisme dan cubaan mereka untuk memberi pendefinisian semula kepada politik dan demokrasi, sementara menggubal bentuk-bentuk penyanggahan yang baru (Hardt & Negri, 2012; Graeber, 2013). Para penunjuk perasaan muda menyatakan dengan bersemangatnya bahawa parti tradisional demokratik sosial, parti kiri dan parti liberal adalah “berlebihan dalam jalan pertengahan” (extremism of the center) dan ini menjadikan mereka bersubahat bersama pihak korporat dan pemerintah bangsawan. Ini mengakibatkan parti-parti politik ini menanggapi ketidakadilan masyarakat dalam kerangka kapitalisme kasino, iaitu kerangkt yang menganggap hanya pasaran bebas boleh menentukan keseluruh aspek kehidupan sosial, bukan hanya dalam ekonomi (Hardt & Negri, 2012: 88)

Menghidupkan Semula Imaginasi Radikal

Perkara yang menyatukan Occupy Movement (pergerakkan Occupy) di Amerika Syarikat dengan kolektif-kolektif global yang lain adalah penekanan mereka terhadap tindakan terus (direct action) dan penolakan mereka terhadap struktur perwakilan dan politk yang moden, menurut Michael Hardt dan Antonio Negri. Kolektif-kolektif ini turut meraskan sokongan kepada pilihanraya dan parti politik tradisional sebagai korup. Oleh itu, mereka tidak menolak demokrasi, tetapi mereka sedang bertanya ke manakah ia telah pergi dan bagaimana mereka “boleh melibatkan diri dengan (demokrasi) lagi” serta memenangi kembali “kuasa politik buruh warganegara” (Hardt & Negri, 2012: 29).

David Graeber pula berpendapat bahawa potensi pergerakkan sosial belia baru ini lebih “terbuka untuk posisi yang lebih radikal daripada apa-apa yang pernah dicatat sejarah pada skala yang besar”, sekaligus memberi ancaman kepada kuasa konservatif dan liberal. Di beberapa buah negara terutamanya, “rayuan mereka kepada politik kelas amat jelas, ianya merupakan sebuah pembinaan semula sistem-sistem politik yang sedia ada, [dan juga] sebuah seruan bukan sahaja kepada reformasi kapitalisme, malah penghapusan kapitalisme sama sekali” (Graeber, 2013: 69-70).

Isu sebenar di sini bukanlah sama ada perjuangan Occupy di sekitar Eropah dan Amerika Syarikat telah berkurang semangatnya, tetapi sama ada kita telah mempelajari sesuatu daripadanya, apa yang telah mereka ubah dan apa yang kita boleh buat tentang situasi ini? Bagaimana kita boleh menghidupkan semula pemberontakan ini sebagai pergerakkan antarabangsa yang boleh mendatangkan perubahan sebenar? Sepatutnya kita tidak membuat dakwaan bahawa golongan belia telah gagal untuk memprotes pengurangan dana awam, ekonomi neoliberal, dan korupsi modal kewangan. Adalah lebih penting untuk mengenal pasti cara-cara protes dibekukan melalui pergelutan untuk survival dan ancaman daripada kerajaan untuk menggunkan kekerasan sekiranya mereka melawan. “Jenayah” paling besar yang dilakukan golongan belia menentang ialah menanggapi konsep utopia bahawa terdapat alternatif kepada kapitalisme. Dengan berbuat demikian, mereka hakikatnya melawan sebuah perang ke atas imaginasi radikal orang muda, melawan sistem yang ingin membuat mereka berkiblatkan budaya konsumer.

Para penunjuk perasaan di negara-negara ini tidak gagal. Sebaliknya, mereka sedar bahawa mereka perlukan masa untuk membangunkan visi, strategi, peralatan budaya, infrastuktur, organisasi dan pakatan yang lebih jelas. Hal ini perlu untuk mereka merealisaskan usaha-usaha mereka untuk menggantikan sturktur sosial yang telah lama korup. Demi membina sistem yang lebih demokratik ini, mereka turut memerlukan sokongan daripada penduduk-penduduk yang bakal menghuni sistem demokrasi ini nanti.

Ramai penunjuk perasaan telah beransur untuk fokus kepada perjuangan yang lebih khusus atau spesifik, seperti mendapatkan universiti untuk mengeluarkan pelaburan mereka di dalam indsutri arang, melawan kenaikkan hutang pendidikan, menganjurkan bantahan terhadap perjanjian Trans-Pacific Partnership, menyediakan perkhidmatan sosial secara percuma kepada golongan miskin, dan membangunkan ruang-ruang pendidikan yang menggalakkan pembentukan budaya untuk menghasilkan keperluan, identiti, dan mod agensi yang membolehkan perhubungan demokratik (Zeese, 2013; Taaffe, 2013; Brahinskky, 2014).

Pada masa yang sama, belia menentang ini melibatkan diri dalam perjuangan sehari-harian, sebagaimana dikatakan Thomas Piketty di dalam bukunya Capital in the Twenty-First Century, kapitalisme pasaran bebas bukan sahaja bertanggungjawab untuk kesengjangan yang “menakutkan” dari segi kekayaan dan pendapatan, ianya juga menghasilkan oligarki yang anti-demokratik (Piketty, 2014: 571). Dan melalui usaha-usaha untuk menghasilkan ruang-ruang demokratik dipupuk oleh imaginasi radikal inilah yang boleh membebaskan para belia ini daripada cengkaman kematian budaya sosio-politik yang dihasilkan oleh kapitalisme kasino. Apa yang selama ini dirasakan mustahil telah menjadi suatu kebarangkalian melalui perkembangan belia menentang ini, selagi mana mereka menyatakan imaginasi masa depan mereka yang sedang menunggu untuk direalisasikan.

Cabaran-cabaran untuk Keadaan Semasa yang Suram

Hak, tuntutan, visi dan mod representasi politik baharu yang didedikasikan kepada kebaikan awam dan sosial memerlukan komitmen jangka masa panjang. Pembinaan bentuk-bentuk alternatif kepada kekuasaan, strategi dan pengurusan masih tidak jelas. Jelas sekali, pergerakkan belia di seluruh dunia sedang menghasilkan apa yang dinyatakan Hardt dan Negri sebagai “jambatan” dalam persediaan untuk membina masyarakat sivil yang baru (Hardt & Negri: 103). Cabaran penunjuk perasaan muda adalah pembentukan visi, taktik dan pengurusan yang utuh bagi membolehkan mereka melaksanakan perubahan yang bermakna (Aronowitz, 2014).

Belia di seluruh dunia perlu memupuk imaginasi radikal yang memberikan alternatif kepada kapitalisme. Ini bagi memberikan bukan hanya cabaran kepada neoliberalisme dan polisi austeriti yang merosakkan, tetapi juga untuk menawarkan satu visi yang bergema di dalam diri orang awam. Visi yang menceritakan keperluan untuk demokrasi radikal bagi meyakinkan seramai orang awam yang mungkin bahawa sistem globalisasi dan kapitalisme kasino yang sedia ada boleh diatasi.

Sungguhpun krisis modal kewangan yang menindas juga perlu disingkirkan, keperluan untuk golongan belia menyampaikan “dimensi proses pengasingan yang lebih meluas, melampaui perbezaan pendapatan” (Aronowitz, 2011). Isu-isu eksistensial bagi yang berputus harap serta menyingkirkan diri ke ruang peribadi mestilah ditangani sekiranya subjek-subjek penindasan ini bergerak atas pilihan diri sendiri, agar mereka dapat melibatkan diri di dalam perjuangan panjang untuk demokrasi radikal.

Seterusnya, selagimana kumpulan-kumpulan penunjuk perasaan ini terpecah (fragmented) sesama sendiri, perubahan tidak akan berlaku. Merancang strategi yang efektif dan membina organisasi yang mapan tidak akan berkesan selagi perpecahan autoriti, kaum, gender, kelas, seksualiti, dan identiti terus berleluasa. Apabila perpecahan-perpecahan ini berfungsi untuk mendemokrasikan tuntutan sekalipun, tanpa mendemokrasikan kepimpinan belia, politik akan larut di dalam pergelutan wacana dan kuasa menjadi semacam suatu penyakit. Sarah Jaffe menggambarkannya melalui petikan ini,

“Paradoks Occupy ialah apa yang menjayakannya juga adalah apa yang meruntuhkannya. Tarikan kepada sebuah pergerakkan tanpa pemimpin dapat dirasai, dan kekurangan tuntutan menyebabkan sesiapa sahaja boleh menyertai Occupy selagi mereka bersetuju dengan premis asasnya bahawa golongan elit yang sedikit memegang terlalu banyak kekuasaan. Namun idea tanpa-kepimpinan menyembunyikan cara kekuasaan terus beroperasi, dan kekurangan tuntutan seringkali menjadi sejenis keberatan untuk berhadapan terus dengan sistem sedia ada.” (Jaffe, 2014)

Pakatan antara kumpulan-kumpulan yang berbeza, terutamanya kumpulan buruh dan kesatuan pekerja, mesti berlaku rentas-negara dan digerakkan dengan pemahaman politik global yang menyeluruh. Segala mekanisme politik ini dari segi kekuasaan, ideologi, kedaulatan korporat, dan kesan buruk yang dahsyat ke atas kehidupan masyarakat perlu difahami, berserta pemahaman tentang realiti dan demokrasi radikal yang ideal. Kemungkinan untuk pakatan, penyatuan dan pemahaman politik yang menyeluruh ini amat tinggi dalam kalangan golongan belia berbanding zaman sebelumnya, memandangkan mereka sekarang mempunyai teknologi yang lebih canggih dan kesedaran tentang kekuasaan yang lebih global, ini telah menjana keperluan untuk mod politik yang baharu (Epstein, 2014: 41-44); Aronowitz, 2014a; Aronowitz, 2014b). Ini adalah masanya untuk kemarahan tulen mengubah kepada sebuah gerakan antarabangsa yang menggubal budaya demokratik sebenar, sekaligus menjadi sebuah strategi berkesan untuk perubahan sosial, politik dan ekonomi.